Postpartum Depression atau kemurungan atau dalam bahasa pasar, sakit meroyan sering dikaitkan dengan wanita selepas bersalin. Tetapi tahukah anda, lelaki yang baru bergelar ayah juga boleh diserang postpartum depression.
Banyak kajian yang dilakukan oleh Pakar Psikiatri sejak tahun 2007 membuktikan kaum lelaki juga mengalami perubahan hormon sama seperti pasangan mereka, suami juga mempunyai risiko yang tinggi mengalami kecelaruan emosi .
Kira-kira10 – 15 peratus kaum lelaki mengalami pengalaman kemurungan atau kebimbangan ketika isteri mereka mengandung dan semakin melahirkan bayi. Mengapa lelaki mendapat postpartum depression? Masalah kewangan dan dibuang kerja, apatah lagi berita buruk itu diterima saat si isteri memberitahu dirinya disahkan mengandung adalah punca utama mengapa lelaki kena postpartum depression.
Rasa rendah diri, tidak berguna, hilang keyakinan diri membuatkan karektor bakal ayah berubah menjadi cepat pemarah walau kepada perkara remeh temeh, pemurung, pertambahan berat badan dengan mendadak dan lagi teruk keletihan yang melampau.
Biasanya sukar hendak perasan seorang ayah itu mengalami kemurungan. Wanita lebih beremosi dan mudah menunjukkan perasaan mereka melalui tangisan tetapi lelaki dengan ego mereka tentu sahaja tidak mahu menunjukkan yang mereka sedang dalam kemurungan. Dengan kesibukan di tempat kerja, kemurungan tersebut hanya dapat dilepaskan menerusi kemarahan dan kekecewaan.
Kajian juga mendapati, lelaki yang baru bergelar ayah kurang meminta bantuan seperti ibu baharu. Mereka dengan keegoan yang tinggi tetap percaya yang mereka tiada masalah dan sebagai ketua keluarga mereka mesti menunjukkan diri tahu segalanya.
Simtom Posnatal Depresi/ Meroyan :
1. Berasa bersalah kerana tidak dapat menjaga bayi dengan baik.
2. Selalu berasa ingin menangis/ menangis tanpa henti
3. Hilang selera makan di mana walaupun berasa sangat lapar, tapi tidak berselera untuk makan.
4. Sukar tidur . Sama ada tidak dapat tidur, bangun terlalu awal atau mengalami mimpi ngeri.
5. Merasa tidak selesa dengan pasangan/ si ibu atau bayi
6. Boleh diserang "panic attack " bila-bila masa. Panic attack akan menyebabkan degupan jantung berdegup laju dari biasa, tapak tangan berpeluh, dan berasa ingin pitam atau pengsan.
7. Mengalami kesukaran untuk fokus dan membuat keputusan.
8. Mengalami simtom fizikal seperti pening kepala.
9. Mempunyai kebimbangan keterlaluan mengenai kesihatan bayi atau kesejahteraan, atau tentang diri mereka dan ahli-ahli keluarga.
10. Pernah terfikir untuk merosakkan diri atau bayi mereka .
11. Mengalami berasa ingin mati.
12. Menjadi luar biasa cepat marah , yang menjadikan rasa bersalah lebih teruk.
Faktor yang menyumbang kepada meroyan di kalangan bapa adalah :
1. Kurang sokongan dari kawan-kawan dan sosial.
2. Karakter seseorang lelaki itu sendiri ( seperti pemarah, mudah meninggi suara, dan sebagainya)
3. stress
4. Kurang tidur
5. Berasa kehilangan dan sedih
6. Sukar untuk menerima perubahan ke alam keibubapaan
7. Tidak menyangka alam keibubapaan tidak seperti yang di sangkakan
8. Trauma dengan pengalaman melihat isteri bersalin .
9. Bimbang dengan tanggungjawab yang lebih besar
10. Tekanan di tempat kerja
11. Perubahan dalam keluarga - sesetengah lelaki mungkin berasa dikecualikan daripada peranan keibubapaan atau dari hubungan dengan pasangan mereka , yang boleh menyebabkan kebencian terhadap anak yang baru dilahirkan.
Hakikatnya lelaki juga perlu mengakui adakalanya mereka perlu bantuan. Ia adalah perkara normal untuk merasakan pelbagai emosi sebaik menerima kelahiran anak. Situasi baru tersebut tentu sahaja memerlukan ibu bapa baharu tersebut belajar menyesuaikan diri. Sepatutnya perasaan bercampur baur antara gembira, sedih, takut, bimbang itu hanya setakat sebulan sahaja. Selepas melakukan pelbagai aktiviti menguruskan bayi setiap hari, mereka seharusnya sudah boleh menyesuaikan diri.
Sekiranya anda yang baru bergelar ayah mengalami situasi kemurungan, jangan pendamkan ia. Segera berbincang dengan pasangan atau berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan. Jangan biarkan ia semakin parah. Ingatlah sebagai ayah, andalah tempat isteri dan anak berlindung.
Semoga Bermanfaat!
No comments:
Post a Comment