5 Tips Jimat Beli Barang Bayi



Antara perkara yang paling menyeronokkan ketika mengandung adalah membeli belah barangan bayi. Kalau ikutkan hati bukan ikutkan bajet, rasa macam hendak beli semua barang yang dicipta untuk bayi. Apatah lagi zaman sekarang ini, ada banyak barangan menarik yang dicipta untuk kegunaan si manja. Pendek kata sebut apa sahaja keperluan yang hendak dicari, semua ada. Lagi bertambah menarik, kadang kala tak perlu bersusah payah pergi ke 'shopping mall' sebab boleh klik sahaja di internet, keluar seribu macam produk khusus untuk bayi. Sediakan sahaja duit secukupnya.

Bagaimanapun janganlah terlalu mengikut nafsu, sebab adakalanya tidak semua barangan tersebut kita akan gunakan. Oleh itu paling penting buat senarai apa barangan yang hendak dibeli. Kemudian tapis lagi senarai tersebut sehingga menjadi senarai pendek dan dapat menjimatkan wang anda. Bukan apa, perjalanan si manja masih panjang lagi dan ada banyak lagi keperluan penting yang mesti diutamakan.

Okey, diharap tips berikut ini boleh diguna pakai ketika bakal papa dan mama hendak memulakan pencarian barangan bayi.



1. Mula menabung



Sebaik disahkan mengandung, maka bermulalah episod menabung anda. Pastikan setiap bulan, ada peruntukan diketepikan untuk bajet bayi yang bakal lahir. Suami dan isteri kena bekerjasama dalam bab ini. Jangan hanya sebelah pihak sahaja yang sibuk menabung (jika keduanya bekerja).


2. Buat senarai



Senarai apa barang hendak beli wajib ada kepada semua bakal ibu ayah. Bukan apa ia penting untuk mengelakkan pembaziran bila beli barangan yang tak penting. Apatah lagi jika menyambut anak pertama, tentu anda terpinga-pinga apa yang hendak dibeli bila pergi ke bahagian barangan bayi di pusat beli belah. Utamakan barangan penting dan perlu terlebih dahulu dalam senarai tersebut, kemudian baru tambah barangan kurang perlu jika ada bajet berlebihan.



3. Serbu jualan gudang atau ekspo



Sekarang ada banyak tawaran jualan murah yang memudahkan dan menjimatkan semua orang. Antara yang popular adalah ekspo barangan ibu dan bayi atau jualan gudang yang dianjurkan oleh sesetengah jenama pengeluar barangan bayi. Oleh itu anda hendaklah sentiasa peka dengan iklan mereka dalam media sosial. Catatkan tarikh jualan tersebut agar mudah untuk anda merancang jadual membeli belah mengikut usia kehamilan anda.



4. Beli secara berperingkat



Pembelian secara berperingkat juga membantu anda merancang bajet dan masa selain daripada kurang meletihkan. Maklumlah, dengan keadaan perut yang semakin membesar tentu anda tak selesa hendak keluar membeli belah dalam jangka masa yang lama. Mungkin boleh mulakan pembelian barangan asas dan penting pada trimester kedua (enam bulan) kandungan. Biasanya ketika ini, anda sudah tahu jantina anak yang dikandung ketika membuat ujian imbasan. Jadi, mudahlah anda membuat pilihan barangan.



5. Beli saiz lebih besar





Ini merupakan tips penting ketika membeli pakaian untuk bayi baharu lahir. Biarpun ada banyak pilihan pakaian bayi baharu lahir tetapi tidak semestinya anda membeli semua saiz yang sama. Seeloknya beli saiz yang lebih besar lebih sedikit berbanding saiz bayi baharu lahir. Ini kerana bayi anda akan cepat membesar. Percayalah!



6. Beli preloved



Barangan seperti kerusi keselamatan bayi, kereta sorong, penggendong bayi, katil bayi memang terkenal berharga mahal sehingga ada yang mencecah ribuan ringgit. Kalau ada bajet, tak mengapa tapi kalau tiada bajet tetapi anda hendak menggunakan produk yang berjenama dan berkualiti apa kata tanya dahulu dengan kawan-kawan atau saudara mara yang hendak menjual barangan terpakai mereka dengan harga preloved. Sekarang ini ramai orang yang hendak menjual barangan terpakai yang masih berkualiti dengan harga berpatutan. Yang penting anda rajin mencari info terlebih dahulu kerana ia boleh menjimatkan wang anda juga. Antara laman web yang menjual barang preloved yang masih elok adalah seperti mudah.my 



sumber : Pama

lydia

Hiking, Photography and Travelling is my passion. Recently quit my job and now SAHM (Stay At Home Mom) while focusing to getting my normal body shape by consuming Shaklee product. Sama-samalah kita kurus dan sihat dengan Shaklee!!

No comments:

Post a Comment

test