Apakah yang patut dilakukan apabila melihat anak sawan?


Tidak dinafikan, melihat anak terkena sawan demam adalah diantara pengalaman hidup yang memeranjatkan bagi kebanyakan ibu bapa. Mata terbeliak dan mulut kelihatan biru, kaki mengeras dan menjadi kejang. Ini adalah diantara tanda-tanda yang mungkin dapat dilihat ketika anak terkena sawan demam.


Apakah  sawan demam?

Sawan demam sebenarnya bukanlah suatu penyakit yang khusus. Ia adalah satu keadaan apabila seseorang kanak-kanak mengalami sawan kerana kenaikkan suhu badan atau demam yang bukan disebabkan oleh penyakit/jangkitan di dalam otak atau ketidakseimbangan metabolik. Jadi, sawan demam tidak sama dengan penyakit sawan atau epilepsy. Istilah “demam sawan” juga digunakan oleh sebahagian doktor.

Siapa yang boleh mengalaminya?

Kanak-kanak berusia 3 bulan sehingga 6 tahun secara teorinya boleh mengalami sawan demam. Tetapi lazimnya sawan demam lebih kerap berlaku kepada kanak-kanak yang berumur 6 bulan sehingga 5 tahun.


Tanda-tanda dan gejala
1. Anak akan tidak sedar diri dan menyentak kedua-dua kaki dan tangan. 

2. Kadang-kadang anak mungkin boleh menjadi kejang atau menyentak satu atau lebih bahagian badan, seperti satu tangan atau satu kaki. Kekejangan boleh berlaku pada satu bahagian badan sahaja. 

3. Sawan demam jarang melebihi satu atau dua minit. Dalam kes dimana sawan melebihi 5 minit, kanak-kanak tersebut perlu di bawa ke klinik berdekatan. 

4. Semasa sawan, kanak-kanak mungkin tercedera (akibat jatuh) atau mungkin tercekik makanan/air liur di dalam mulut. 

5. Kebanyakan kanak-kanak dengan sawan demam mengalami suhu badan tinggi melebihi 38.5C 

6. Kanak-kanak dengan sawan demam tidak semestinya mendapat epilepsi (epilepsi atau "sawan babi" adalah kejadian sawan yang berulang-ulang dan tidak dicetuskan oleh demam). 

7. Kebanyakan sawan demam berlaku pada hari pertama kanak-kanak demam



Apakah yang patut dilakukan apabila melihat anak sawan?



Jangan panik !!


  • Sukar untuk dilakukan! Ini kerana melihat seseorang sawan memang boleh menjadikan kita bingung seketika.
  • Namun cubalah sedaya upaya untuk tidak panik agar kita dapat bertindak dengan sewajarnya
Tempatkan anak–anak di kawasan yang selamat


  • Pastikan anak anda ditempatkan di kawasan yang selamat.
  • Sebagai contoh, jauhkan dia daripada objek–objek yang mungkin boleh ditendang dengan tidak sengaja dan jatuh pula ke atas dirinya

 Letakkan anak anda dalam posisi mengiring disebelah kiri


  • Tujuannya adalah untuk mengelakkan anak anak daripada tercekik sekiranya terdapat sesuatu di dalam mulutnya dan juga mengelakkan objek tersebut termasuk ke dalam rongga paru paru
  • Objek di dalam mulut lebih mudah termasuk kedalam rongga paru paru kanan daripada paru paru kiri jadi tidak disyorkan meletak anak anda mengiring di sisi kanan.
  • Sekiranya anda dapat melihat sesuatu di dalam mulutnya dengan jelas, bolehlah cuba untuk mengeluarkannya dengan satu pergerakkan jari yang cepat ke dalam mulutnya, jika tidak berjaya, jangan cuba untuk menjolok jari anda atau meletakkan sebarang objek lain kedalam mulut anak yang sedang sawan.
  • Jangan memaksa anak yang sedang sawan untuk minum air


Perhatikan “pattern” sawan dan tempohnya


  • Lazimnya sawan yang berlaku semasa sawan demam akan berhenti dalam beberapa minit.
  • Setelah sawan itu berhenti bawalah anak anda ke klinik yang terhampir untuk penilaian.
  • Sekiranya 5 minit telah berlalu dan sawan masih berterusan, teruslah membawa anak anda untuk berjumpa dengan doktor .
  • Memerhatikan sawan anak serta tempohnya dapat membantu doktor yang merawat dalam mendapatkan diagnosis yang tepat.
  • Walaupun sawan demam tidak merbahaya, doktor perlu memastikan sawan tersebut bukanlah disebabkan masalah lain yang lebih serius seperti radang selaput otak, gula terlalu rendah di dalam badan atau masalah ketidakseimbangan metabolik yang lain.

Bolehkah sawan demam berulang dan adakah ia akan melarat menjadi penyakit epilepsy?


  • Ya, sawan demam boleh berulang lagi. Antara faktor risiko termasuklah sejarah sawan demam dalam ahli keluarga yang lain dan umur kurang daripada 1 tahun sewaktu sawan demam yang pertama. Hampir separuh daripada kes sawan demam berulang akan berlaku dalam tempoh 6 bulan pertama selepas kejadian yang awal.



  • Sawan demam tidak menyebabkan epilepsy. Namun, data menunjukkan yang 2% hingga 7% daripada kanak–kanak ini kemudiannya disahkan mengalami epilepsy.



  • Dalam kes tersebut, kebanyakkannya telah pun mempunyai masalah lain seperti perkembangan yang lambat, masalah sistem saraf otak atau ahli keluarga yang menghidap epilepsy.


Bolehkah sawan demam dielakkan?

Tiada data yang menunjukkan penggunaan ubat demam atau ubat sawan boleh mengelakkan kejadian sawan demam. Namun ubat demam itu boleh membuat anak yang mengalami demam yang tinggi untuk merasa lebih selesa.

Apa yang penting untuk diketahui oleh ibu bapa adalah sawan demam itu suatu keadaan yang tidak serius dan mempunyai prognosis yang sangat baik terutama kepada kanak – kanak yang tidak mempunyai sebarang masalah perkembangan yang lewat atau penyakit sistem saraf otak.





sumber : 
1. http://www.mmgazette.com/apakah-sawan-demam-dr-alya-hamzah/
2. http://sakitrawat.blogspot.com/2010/07/demam-sawan-simptom-gejala-rawatan.html

lydia

Hiking, Photography and Travelling is my passion. Recently quit my job and now SAHM (Stay At Home Mom) while focusing to getting my normal body shape by consuming Shaklee product. Sama-samalah kita kurus dan sihat dengan Shaklee!!

No comments:

Post a Comment

test