13 Perkara Yang Digalakkan Diamalkan Ketika Bulan Ramadhan.



Alhamdulillah, selesai bersahur bersama encik suami.
Lauk simple-simple aja kalau time sahur begini.

Telur goreng + Kuah ikan percik berbuka semalam & sayur campur goreng. Within 15 minutes dah siap semua. Resipi campak-campak namanya ni.

Memandangkan baru sahaja masuk ramadhan yang ke-3, rasanya masih belum terlambat saya nak share tentang amalan yang DIGALAKKAN semasa bulan RAMADHAN. 

Bagaimana kita memanfaatkan Ramadan yang lalu? Jom tingkatkan amalan berbanding tahun lepas. Bermuhasabah diri dan rangka perancangan apa yang perlu kita lakukan untuk memaksimumkan manfaat tempoh bulan mulia ini dalam tempoh masa 24 jam sehari bermula tatkala dinihari.


1. Qiamullail dan solat sunat

Pada masa  satu pertiga akhir malam, iaitu kira-kira jam 2.30 pagi hingga terbit fajar, adalah masa teristimewa dan turunnya rahmat Allah ke bumi. Waktu ini amat sesuai untuk berqiamullail iaitu melakukan solat-solat sunat dan berzikir kepada Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda; “Hendaklah kamu bersolat malam. Sesungguhnya ia amalan orang yang soleh sebelum kamu, amalan yang mendekatkan kepada Tuhan mu, penghapus kesalahan dan pencegah dosa.”  (HR; Muslim)
Biar sedikit tetapi istiqamah. Antara solat-solat sunat yang boleh mengisi qiamullail ialah:

  1.  Solat Sunat Tahajjud
  2.  Solat Sunat Taubat
  3.  Solat Sunat Tasbih diikuti
  4.  Solat Sunat
  5.  Solat Sunat Witir


2. Sahur

Rasulullah SAW bersabda;“Seelok-elok sahur seorang mukmin itu ialah dengan buah tamar.” – (Hadis riwayat Ibn Hibban).

Rasulullah SAW bersabda: “Jadikanlah makan di waktu sahur sebagai penolong melakukan puasa di waktu siang. Dan istirahat di tengah hari sebagai penolong untuk melakukan solat malam kamu.”

Justeru didiklah ahli keluarga terutama anak-anak kecil untuk bangun bersahur dan. Ibu dan ayah berusahalah menyediakan sajian berkhasiat buat si anak supaya berselera menikmati sahur demi puasa keesokan harinya dan bagi mendapatkan keberkatan dalam sahur itu sendiri. Bersugi selepas bersahur dan minumlah segelas air bagi melegakan kerongkong selepas bersugi.

3. Membaca Al Quran

Sementara menanti masuk Subuh, bacalah al-Quran semampu anda. Ia merupakan amalan mulia di bulan Ramadan ini. Rasulullah SAW pernah bersabda,“Membaca al-Quran adalah ibadat sunat yang paling afdal.”

4. Solat Sunat Rawatib Sebelum Subuh

Ia juga dikenali sebagai Solat Sunat Fajar menjadi amalan Rasulullah. Sabda Rasulullah SAW; “Solat dua rakaat (sebelum) Solat Subuh itu lebih baik daripada dunia dan segala isinya.”  (HR; Muslim).

5. Solat berjemaah

Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang keluar ke masjid pada waktu pagi atau petang, Allah SWT akan sediakan kepadanya di syurga tempat berteduh pada setiap kali ia keluar.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Boleh juga menunaikan berjemaah di rumah bersama keluarga. Allah mengurniakan ganjaran pahala 27 kali ganda daripada solat bersendirian kepada orang yang mendirikan solat berjemaah. Semoga dengan cara ini keberkatan akan melimpah ruah ke atas setiap ahli keluarga yang mengerjakan solat berjemaah.

6. Berselawat

Pada bulan yang mulia ini, banyakkanlah selawat kepada Nabi Muhammad SAW.  Kelebihan atau keistimewaan selawat antara lain dijelaskan Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya selawat kepada Nabi. Hai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya.” (Surah Al-Ahzab: 56).







7. Berwirid hingga terbit matahari

Kita juga boleh bertasbih, bertahmid, beristighfar, berselawat dan berdoa. Sabda Rasulullah SAW.: “Para malaikat berselawat bagi setiap orang yang selesai solat dan masih ia tetap di tempat solatnya itu.

Malaikat pun berdoa: “Ya Allah, berikanlah kepadanya rahmat dan keampunan-Mu.…” begitulah keadaannya selama mana orang itu tidak batal wuduknya atau  ia keluar dari masjid.”    Hadis Riwayat Muslim.

8. Solat Sunat Dhuha

Rasulullah SAW bersabda lagi, “Solat Dhuha itu mendatangkan rezeki dan menolak kefakiran (kemiskinan), dan tidak ada yang akan memelihara solat Dhuha kecuali hanya orang-orang yang bertaubat.”

9. Qailullah

Qailullah ialah tidur sebentar sebelum masuk waktu solat Zuhur; dengan kadar masanya antara 10 hingga 30 minit. Tidur ini disunatkan sebagai memudahkan untuk bangun menunaikan solat sunat di tengah malam. Sekiranya  tidur tanpa berniat untuk bangun pada tengah malam maka tidaklah mendapat sebarang pahala pada tidur tersebut.

10. Menyediakan sajian berbuka

Rasulullah SAW  sering menggalakkan umat Islam menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa meskipun dengan hanya beberapa biji tamar atau segelas air.

Sabda Baginda SAW :  “Sesiapa yang menjamu orang yang puasa akan mendapatkan pahala seperti pahalanya orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahalanya sedikit pun.” (HR. Ahmad, Tirmidzi, bn Mâjah, Ibn Hibban dan dishahihkan oleh Imam Tirmidzi)

Disunatkan berbuka dengan tiga biji  kurma dan segelas air.

11. Memperbanyakkan doa

Disarankan berdoa apa saja yang dihajati sewaktu berbuka kerana ia antara waktu yang mustajab (makbul) berdoa. Rasulullah SAW. bersabda: “Sesungguhnya doa yang tidak ditolak bagi orang berpuasa itu ialah ketika dia berbuka Allah dan malaikatnya mengucapkan selawat (berdoa dan memohon daripada Allah akan keampunan dan keredaan) ke atas mereka yang bersahur.” – (Hadis riwayat At-Tabrani dan Ibn Umar).

12. Tarawih dan witir berjemaah

Dalam bulan Ramadan ini, menunaikan solat tarawih menjadi amalan yang sinonim. Bagi makmum yang mengerjakan solat Tarawih disyorkan supaya sentiasa bersama imamnya itu sehinggalah selesai sama ada sebanyak 20 rakaat mahupun 8 rakaat.

Sabda Rasulullah SAW:“Apabila seseorang menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan) beredar, dikirakan untuknya (makmum) pahala berqiamullail semalaman”  (HR; an-Nasaei).

13. Bertadarus Al Quran dan memahamkan maknanya

Disebutkan dalam hadis riwayat Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak berkumpul satu kaum di suatu rumah dari rumah Allah (masjid) yang membaca al-Quran dan saling mempelajarinya antara mereka melainkan diturunkan ke atas mereka ketenangan, diselubungi rahmat, dikelilingi malaikat rahmat dan Allah mengingati mereka pada siapa di sisi-Nya.” (Hadis riwayat Muslim).

Amalan ini elok sekali dilakukan oleh ibu dan ayah di rumah dengan memimpin anak-anak membaca Al-Quran dan kemudian menerangkan maksud ayat kepada anak supaya mereka memahaminya.

Semoga amalan yang dilakukan pada bulan Ramadan ini akan diteruskan dengan istiqamah pada bulan Syawal dan bulan-bulan berikutnya sehingga tiba Ramadan lagi dengan izin-Nya. 

Manalah tahu, jika kita sudah biasakan amalam-amalan sunat & ganjaran pahala yang besar di bulan Ramadhan, kita akan berasa kekok untuk tinggalkan di hari-hari biasa! "Biasakan yang betul, Betulkan yang Biasa "

Wallahua'lam.



Credit to : Majalah Pama.

lydia

Hiking, Photography and Travelling is my passion. Recently quit my job and now SAHM (Stay At Home Mom) while focusing to getting my normal body shape by consuming Shaklee product. Sama-samalah kita kurus dan sihat dengan Shaklee!!

No comments:

Post a Comment

test